PROGRAM PENINGKATAN KEMAHIRAN (PPK)
Latarbelakang

Penolong Pengarah
Program Peningkatan Kemahiran (PPK) dahulunya dikenali sebagai Crash Programme mula dilaksanakan pada tahun 1991 dengan dibiayai oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melalui peruntukan pembangunan. Ianya telah dikawal selia oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) yang dahulunya dikenali sebagai Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK). Tujuan program ini ialah untuk melatih tenaga pengajar Institusi Latihan Awam supaya lebih kompeten, lebih berpengetahuan dan lebih berkemahiran dalam sesuatu bidang kemahiran tertentu dan berupaya mempertingkatkan kreativiti dan produktiviti dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran.
Sejajar dengan keperluan industri dan perubahan teknologi yang dinamik diperingkat global maka satu mekanisme secara terancang telah disediakan oleh Bahagian Latihan Dan Pembangunan Kerjaya (BLPK), JPP. Program ini telah diperluaskan dan pelbagai jenis kursus telah ditawarkan agar dapat memberi peluang lebih ramai tenaga pengajar politeknik dan kolej komuniti mendapat latihan bagi meningkatkan kemahiran bidang tertentu.
Peningkatan kemahiran tenaga pengajar telah memberi kesan kepada peningkatan mutu kurikulum latihan dan pelaksanaannya. Ini adalah kerana tenaga pengajar yang dilatih telah menjadi kakitangan sumber bagi bidang yang berkaitan. Disamping itu, mutu kemahiran dan keyakinan tenaga pengajar dalam menyediakan latihan kemahiran kepada pelajar telah meningkat.

